Upin dan Ipin disuruh mengemas bilik mereka yang bersepah oleh Kak Ros
Seperti biasa Upin dan Ipin berat hati untuk berbuat demikian, tetapi
Kak Ros berjaya memujuk mereka dengan mengugut untuk menyedut mereka dan
semua barang mereka sekali dengan vakum dengan nada suara ala penjahat
kartun.
Selepas puas mengemas dan memvakum bilik, tidak sempat mereka
berehat tiba-tiba suara lantang Kak Ros menyuruh mereka untuk mengemas
bilik-bilik yang lain, kecuali bilik Kak Ros kerana dilarang. Apapun,
bilik Kak Ros juga bersepah, jadi Upin dan Ipin mengambil kesempatan
untuk memerli kakak mereka yang sedang mengemas ruang tamu, dengan
ugutan sama seperti yang mereka dengar dahulu.
Di bilik Opah pula hanya sebentar bunyi vakum yang kedengaran, gara-gara bilik itu
sudah pun kemas. Maka hanya tinggal satu lagi bilik untuk dikemas, iaitu
bilik keempat yang terletak sebelah bilik Upin dan Ipin dan menghadap
bilik Opah. Akan tetapi, pintu bilik itu terkunci. Upin dan Ipin
menyuruh Kak Ros untuk membuka pintu itu, tetapi Kak Ros berbaring
mengiring di atas kerusi panjang, terlena! Sekali lagi diundangnya
perlian Upin dan Ipin.
Upin dan Ipin cuba mengejutkan Kak Ros, tetapi tiba-tiba Kak Ros
bergolek dan terhulur tangan kirinya yang memegang segugus kunci. Upin
dan Ipin mengambil gugusan kunci itu untuk cuba membuka kunci pintu
bilik keempat itu. Setelah berjaya, mereka pun masuk untuk melihat-lihat
sekitar bilik itu. Di dalamnya ada katil dengan rak-rak buku. Upin
mengambil kesempatan untuk tidur sejenak di atas katil itu sementara
Ipin terlihat buku yang terjudul "Upin & Ipin Kesayanganku" dalam
rak itu, lalu cuba mengambilnya, tetapi sesuatu berlaku.
Tidak lama kemudian, Upin bangun dari lena dengan Ipin di
sisinya. Akhirnya Upin dan Ipin disuruh keluar oleh Kak Ros yang baru
terjaga. Apabila ditanya semua bilik kemas atau tidak, "dah" jawab
mereka. Mereka memulakan gugusan kunci itu kepada Kak Ros yang mamai dan
nyata tidak menyedari gelagat adik-adiknya sewaktu dia tidur, tetapi
Ipin secara curi menyimpan kunci emas untuk bilik misteri. Ros
bersambung tidur, tetapi sebelum itu dia bertanya adakah bilik itu sudah
terkunci. "Dah", jawab mereka lagi.
Keesokan harinya di tadika, Upin bermain lawan labah-labah dengan
Mail. Nama labah-labah masing-masing ialah Kak Ros dan Mail Jam. Baru
sahaja Ehsan hendak memulakan permainan, tiba-tiba Mei Mei mencelah
untuk menghentikan perlawanan. Jelas Upin, mereka hanya beradu
labah-labah cantik. Oleh itu, Mei Mei menurunkan kumbang kura-kuranya ke
atas 'gelanggang'. Sayangnya kumbang kura-kura itu gentar dengan
kedua-dua lawan besarnya hingga terbang pergi.
Perlawanan tergendala oleh pengumuman ketibaan guru oleh Fizi.
Setelah cepat-cepat menyimpan semula labah-labah, Mail mengajak Upin dan
Ipin untuk bersambung petang nanti, tetapi Ipin menolak. Bila ditanya
oleh Upin, Ipin menjelaskan bahawa ada dia cuba memberitahu Upin sesuatu
malam semalam tetapi Upin tertidur.
Sekembali ke rumah, Upin dan Ipin memasuki semula bilik misteri. Upin
teruja sekali menemui katil yang selesa itu dan melompat-lompat di
atasnya, hingga diperli oleh Ipin seperti "beruk berayun". Ipin
menunjukkan buku yang bertajuk "Upin dan Ipin Kesayangan" dalam rak
buku, lalu meminta Upin untuk mengambilnya. Upin memanjat rak untuk
mencapai buku itu, tetapi sebaik menarik keluar buku itu, rak itu
berpusing ke dalam dinding dan menyebabkan Upin terjatuh.
Rupa-rupanya itulah yang hendak ditunjukkan oleh Ipin, iaitu satu
lagi bilik rahsia yang tersembunyi di sebalik rak buku! Ipin terus
mengajak Upin masuk bersama-sama, tetapi Upin enggan kerana takut dengan
kegelapan. Apapun, Ipin tetap menyeret abang kembarnya ke dalam.
Cerita melangkau ke waktu makan malam. Upin dan Ipin berbisik-bisik
sambil terkekek-kekek tentang pengalaman mereka di sebalik pintu rahsia,
dengan cerita-cerita yang membuat Kak Ros dan Opah tertanya-tanya,
lebih-lebih lagi Kak Ros yang terganggu oleh bisik-bisikan itu. Bila
ditanya Opah, Upin dan Ipin membalas dengan cerita-cerita aneh mengenai
zaman lampau mengenai "Abang Ghani" dengan "Cik Siti" yang perlu
mengetuk botol untuk berjumpa. Opah berasa segan terdengar dua nama itu.
Upin dan Ipin bersambung cerita dengan mengajukan kepada Kak Ros
mengenai seorang kanak-kanak perempuan yang "garang" dan lebih nakal
daripada mereka, hingga pernah tercedera sewaktu naik basikal. Ros pun
rasa malu terdengarnya.
Keesokan harinya, Upin dan Ipin sekali lagi bermain di bilik hingga
bersepah. Sekali lagi mereka dikejutkan oleh Kak Ros, tetapi kali ini
dia tidak berniat untuk menyuruh-nyuruh mereka, sebaliknya ingin
bertanya baik-baik mengenai "budak perempuan garang" yang diceritakan
semalam, sama ada itukah Kak Ros sendiri. Seperti yang dijangka, Upin
dan Ipin mengiya dengan nada sinis.
Perbualan mereka menarik perhatian Opah yang berjalan lalu.
Kehadirannya segera disedari oleh cucu-cucunya yang mengajaknya untuk
turut bersembang mengenai "Abang Ghani", tetapi Opah menunjukkan rasa
segan dan beredar dengan polos. Tetapi Opah kembali mencuri dengar
perbualan itu, tetapi sekali lagi disedari. Selepas Opah akhirnya
menjauh, Upin dan Ipin meminta Kak Ros supaya tidak memarahi mereka
sampai bila-bila jika hendak mengetahui rahasia
Akhirnya Upin dan Ipin membawa Kak Ros ke bilik misteri. Ipin
mengeluarkan kunci bilik itu lalu Kak Ros meninggikan suara. Dengan
segera Upin dan Ipin melafazkan janji itu, maka Kak Ros memperlahankan
suara. Sebaik sahaja mereka masuk, Kak Ros cuba memasang lampu tetapi
suisnya rosak. Kemudian dia terlihat katil yang tidak kemas lalu hendak
menengking, tetapi Upin dan Ipin cepat memesankan janji tadi.
Kak Ros terus membuka tingkap untuk menerangkan bilik lalu
mengemaskan katil, tetapi pada masa yang sama Upin dan Ipin menghilang.
Kak Ros dengan rasa bimbang memanggil mereka. Dia dibalas dengan suara
Upin dan Ipin memanggil "Akak" berkali-kali, tetapi kelibat mereka
langsung tidak kelihatan. Sedar-sedar mereka menyorok di balik rak buku,
Kak Ros menolak adik-adiknya ke tepi bergegas ke bilik rahsia. Ini
disusuli dengan tangisan teresak-esak dalam bilik.
Ros menangis-nangis hingga senja, duduk di atas katil bersama
adik-adiknya sambil memegang buku bertajuk "Ros Puteriku" kerana
meratapi isi buku tinggalan arwah ibu bapa mereka bertiga yang menyayat
hati. Raungannya menarik perhatian Opah yang tertanya-tanya mengapa
begitu. Jelas Ipin, Kak Ros menangis setelah terbaca buku itu. Ros
dengan sebak menanya Opah mengapa merahsiakan buku itu. Jawab Opah, dia
ingin memberitahu tetapi perlu menunggu masa yang sesuai.
Opah menyuruh cucu-cucunya ke tepi untuk mengambil peti di bawah
katil. Dia membuka peti tersebut untuk menunjukkan pakaian seragam askar
arwah bapa Ros Upin dan Ipin, siap dengan topi dan lencana bertulis
"Abdul Salam". Jelas Opah, bilik ini dirahsiakan kerana tidak mahu
perkara zaman silam didedahkan terlalu awal sehingga semua barang pusaka
di dalamnya diancam kecurian.
Upin mengambil baju seragam itu sambil melafazkan cita-cita untuk
menjadi askar seperti bapa mereka, "berjasa kepada negara". Ipin
menurut kata kembarnya sambil memakai topi askar hingga tertutup mata.
Memandangkan rahsia bilik sudah terdedah, Opah mengizinkan cucu-cucunya
untuk menggunakan bilik ini. Akhir sekali, Ros, Upin dan Ipin meminta
supaya diceritakan kisah Siti dan Ghani; sekali lagi Opah menangguh.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar